Jejak ABX Express

ABX Express secara rasminya memulakan operasinya 29 tahun lalu di Labuan dan semenjak itu berkembang menjadi penyedia perkhidmatan kurier nasional yang sehingga kini mempunyai 75 cawangan dalam rangkaiannya. Urusan seharian mereka digerakkan oleh lebih daripada 800 orang staf terlatih. Syarikat yang dimiliki oleh Bumiputra ini mampu memberikan perkhidmatan berkualiti sama hebat dengan pesaingnya yang lebih besar. Insfrastruktur logistiknya membantu membina kerjasama yang baik kepada pelanggan melalui gerak kerja yang efektif dan produktif. Tambahan pula, syarikat ini menyediakan perkhidmatan penghantaran yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

ABX Express menawarkan penghantaran dari pintu ke pintu sebagai salah satu perkhidmatan penghantaran mereka. Anda tidak perlu lagi risau untuk berjalan jauh bagi mendapatkan bungkusan dan dokumen kerana mereka akan menghantar terus kehadapan pintu rumah anda. Anda hanya perlu menyertakan maklumat tepat mengenai lokasi anda. Syarikat ini juga mempunyai kepakaran untuk mengenalpasti selok belok kawasan dimana mereka beroperasi. Jadi anda tidak perlu khuatir jika staf penghantar bungkusan berkemungkinan gagal menjumpai anda.

Salah satu permasalahan utama yang jelas ABX Express masih ketinggalan adalah keseriusan untuk mengaplikasikan teknologi terkini di dalam sistem perkhidmatan penghantaran mereka. Laman web rasmi mereka tidak dirangka dengan sebaik mungkin malah cara ia dipersembahkan juga tidak menarik perhatian pelanggan. Laman tersebut gagal untuk menggunapakai ciri keselamatan terkini. Justeru, bagi memberikan impak positif kepada pelanggan, ABX Express hendaklah menaiktaraf laman web rasmi mereka dengan kadar segera memandangkan kita kini sudah di zaman yang mudah untuk mendapatkan maklumat secara langsung di atas talian dan seterusnya boleh melakukan pesanan melalui internet.

Antara perkhidmatan disediakan adalah muatan kargo dan perkhidmatan kurier. Mereka mampu melakukan pelbagai jenis penghantaran melalui jalan darat ataupun udara ke destinasi yang anda ingini. Mereka juga menyediakan talian khidmat pelanggan bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang mungkin dihadapi.